Mengapa umat Islam diuji dengan pelbagai ujian?

- Ustaz Zainudin Hashim -

Peranan Umat Islam

Sifat utama Umat Islam seperti yang didedahkan oleh al-Quran ialah mengajak manusia sejagat untuk melakukan perkara-perkara yang baik (makruf) dan meninggalkan perkara-perkara haram yang ditegah oleh agama Islam, ia bertujuan tidak lain agar mereka menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat, pendedahan ini pernah disebut menerusi surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari perkara mungkar, mereka itulah orang-orang yang berjaya. Umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan Allah ke muka bumi ini bagi mengajak manusia seluruhnya mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT dalam erti kata yang cukup luas maksud dan pengertiannya."

Diuji dengan pelbagai ujian untuk jadi kuat dan matang

Antara ujian yang disebut oleh al-Quran ke atas masusia ialah dengan menjadikan hidup dan mati itu sebagai ujian untuk mengetahui sejauh mana mereka benar-benar beriman kepada Allah (lihat ayat 2 surah al-Mulk dan ayt 2dan 3 surah al-Ankabut).

Umat Islam diuji dengan kefarduan solat lima waktu, puasa sebulan di bulan Ramadan, menunaikan fardu haji di Mekah, berakhlak mulia, bersangka baik, meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah dan sebagainya, ia tidak lain adalah untuk menjadikan mereka Umat yang berkualiti tinggi dari sudut keimanan, ketakwaan dan hubungan dengan Allah selaku Pencipta.

Tanpa ujian, sudah pasti umat manusia seluruhnya tidak mengetahui sejauhmana keimanan mereka itu kepada Allah, sepertimana para pelajar di sesebuah sekolah, mereka mesti melalui proses pembelajaran yang diakhiri dengan peperiksaan penting, sama ada di peringkat UPSR, PMR atau SPM bagi menentukan tempat terbaik pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Ujian adalah untuk mengingatkan Umat tentang peranan dan tanggungjawab

1- Berlaku bermacam-macam fitnah terhadap agama (dilakukan sendiri oleh umat Islam),

2- Berlaku gempa bumi, rebut taufan, banjir kilat, tanah runtuh,

3- Kematian di mana-mana (sama ada kematian disebabkan kemalangan, bunuh diri, membunuh orang lain bagi menutup rasa malu dan lain-lain), umat ditimpa pelbagai bentuk bala daripada Allah.

Berdasarkan keterangan hadis Nabi Muhammad di atas, kita sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana dikategorikan dalam golongan umat Nabi Muhammad yang banyak kelebihannya, kerana baginda sahajalah yang mampu memberi syafaat di akhirat dibandingkan dengan para Anbiya yang lain.

Namun apa yang patut kita sama-sama fikirkan ialah persoalan hidup kita semasa di dunia ini, pernahkah kita terfikir, bagaimana Nabi Muhammad mengkhabarkan mengenai raptai ujian atau siksaan di dunia ini atas kesilapan yang kita sendiri lakukan.

Atas kealpaan manusia bernama Islam, yang melakukan banyak tindakan yang menyalahi agama, hingga ia dianggap fitnah terhadap Islam itu sendiri, sebagai contoh, berapa ramai di kalangan wanita Islam yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggapnya dosa kecil, ada yang berjudi, minum arak, merogol keturunan sendiri, meragut, membunuh dan bermacam-macam jenayah lagi, kesemua itu adalah fitnah kepada Islam.

Justeru, apabila umat Islam sendiri terlibat dengan fenomena fitnah, maka tidak mustahil Allah SWT menimpakan pelbagai bentuk malapetaka dan bala yang tidak terduga oleh akal manusia, kalau di zaman dahulu Allah timpakan bala seperti belalang, kutu, katak, darah yang menggerunkan pada ketika itu, pada hari ini Allah hukum dengan selsema burung, penyakit kuku, tangan, kaki dan mulut, Aids dan macam-macam lagi yang menyebabkan manusia takut dan pasrah terhadap hukuman-Nya.

Antara bala yang ditimpakan Allah ke atas umat Islam kini ialah kematian, sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan, laporan akhbar setiap hari menyebut mengenai kes-kes kematian, ini menandakan bahawa Allah sedang merancang sesuatu untuk menghukum kita yang alpa dengan habuan dunia yang menjauhkan diri kepada-Nya.

Sebenarnya ujian yang kita terima dan sedang berhadapan dengannya, adalah tidak lain untuk mengingatkan kepada asal kejadian kita, iaitu untuk beribadat kepada-Nya, apabila kita diuji dalam keadaan taat dan mati kerananya, maka kita sedang melakukan perkara yang soleh, tetapi sebaliknya apabila kita mati dalam keadaan maksiat dan menentang Allah, dikhuatiri kematian kita itu menjadi kutukan di sisi Allah SWT, justeru, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan banyak melakukan muhasabah kepada Allah

Mohon ampun, tutup keaiban dosa daripada terdedah

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?" (Surah Ali Imran ayat 135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan.Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi, apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya.Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram.Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengangampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa ayat 110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia.

Mukmin yang 'ashi (derhaka) hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampun dan dilindung daripada pandangan orang ramai, dengan syarat mereka menyesali dan taubat bermula daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau Allahummaghfirli wa liwalidaiyya.

Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan.

Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat dan ditudungnya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu dan gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah An-Nashr ayat 3)

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:

"Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)." (Surah Ali Imran ayat 17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain.Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakkan manusia masih lena tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Sebaliknya jika seseorang beristighfar dan berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah s.a.w. amat gemar beristighfar dengan:

"Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat-Tauwwabur Rahim" Yang bermaksud: "Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau Amat penerima taubat lagi Maha Penyayang."

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata kata sanjungan dan bunga pujian.....Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala Kemuliaan yang tidak terhingga.

Sebelum meminta sesuatu dari Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci dan mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dia-lah Tuhan yang Maha Berilmu.

Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dia-lah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih dan tahmid.

- Harakah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat -

Tazkirah Jumaat : Penting memelihara nama baik Islam

Ustaz Zainudin HashimKerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipilih khusus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul terakhir, adalah untuk membawa agama yang benar daripada Allah serta memelihara nama baiknya daripada tercemar. Justeru baginda melakukan yang terbaik bagi memastikan kesinambungan nama baik Islam terus berada pada tahap dan keadaan yang sempurna.Dalam Sirah baginda, jelas menunjukkan bahawa baginda sedaya upaya menjernihkan Islam daripada angkara keceluparan mulut, tindakan atau perbuatan yang boleh merudumkan nama baik Islam seperti tidak berakhlak mulia di hadapan bukan Islam, sedangkan ketika bersama sesama Islam baginda berbuat baik dengan mereka. Baginda tidak memakai pakaian yang boleh menjatuhkan imejnya bukan sahaja sebagai seorang Nabi, tetapi sebagai seorang Muslim yang mempratikkan Islam.

Contoh mengenainya terlalu banyak berdasarkan Sirah baginda mendaulatkan Islam selama 23 tahun yang tercatat dalam sejarah tamadun Islam. Ia dapat dilihat bagaimana baginda menunjukkan sikap positif terhadap semua bangsa manusia, tidak kira sama ada mereka golongan sahabatnya, bukan Islam atau musuh-musuh Islam yang terkenal pada masa itu dengan golongan 'munafiqin' atau 'Zindiq' yang berpura-pura menerima Islam di hadapan Rasulullah s.a.w.

Jabir bin Abdullah antara sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis pernah berkata:

"Ketika baginda membahagikan harta rampasan perang (ghanimah) bani Hawazin di kalangan orang ramai di Jaaranah, maka seorang lelaki daripada bani Tamim bangun lalu berkata: 'Wahai Rasulullah! Bahagikan ghanimah itu dengan adil', maka baginda s.a.w. pun memarahinya sambil menegaskan; jika Muhammad tidak berlaku adil, maka siapa yang lebih adil daripada aku? Jika aku tidak berlaku adil sudah tentu ramai orang termasuk engkau juga tidak mendapat keadilan sewajarnya, mereka semua akan rugi."

Saiydina Umar bin al-Khattab pun bangun lalu berkata:

"Wahai Rasulullah! Biarkan aku saja yang membunuh lelaki ini? Nabi bersabda: 'Aku berlindung daripada Allah supaya tidak akan ada umat yang akan berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya', Rasulullah pun menambah: "Sesungguhnya lelaki berkenaan dan sahabatku juga adalah mereka yang membaca al-Quran, cuma mungkin tidak memahaminya dengan baik." - Hadis sohih riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari

Dalam satu peristiwa lain, satu daripada para sahabat ada menyaksikan beberapa individu di Madinah melakukan perbuatan sumbang, iaitu memburuk-burukkan nama baik negara yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang dikenali dengan pentadbiran berasaskan 'Piagam yang adil' atau Piagam Madinah. Maka baginda memanggil para pembesar sahabat yang menjawat jawatan menteri dan penasihat negara, supaya bertindak ke atas mereka dengan pelaksanaan undang-undang (ta'zir) yang setimpal dengan perbuatan mereka, akan tetapi baginda berpesan supaya mengelak daripada cemuhan manusia yang mungkin akan berkata bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.

Begitu juga dalam mengukuhkan hubungan dengan para pembesar negara-negara dunia ketika itu, terdapat daripada mereka yang bukan Islam, baginda amat menitik-beratkan pendekatan 'Robbaniyyah/ketuhanan' ketika berurusan dengan mereka.

Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 58 surah al-Anfal yang bermaksud:

"Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat."

Demikian juga dengan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w., di mana setiap individu daripada mereka amat mementingkan penjagaan nama baik agama Islam, sehingga tidak terdapat seorang pun daripada mereka melakukan tindakan, perbuatan atau keceluparan mulut mereka yang boleh merosakkan nama baik, sama ada dari sudut penmapilan diri, hubungan sesama manusia, mentadbir negara, dalam peperangan, semuanya dilakukan berdasarkan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. agar Islam sentiasa dipandang mulia.

Adakah umat hari ini menjaga nama baik Islam?

Islam bukanlah hak untuk orang-orang terdahulu daripada kita semata-mata, atau untuk sesuatu bangsa tertentu, tetapi ia adalah hak mutlak kepada semua mereka yang beragama Islam tanpa mengira asal-usul keturunan, kedudukan, pangkat, jantina atau warganegara. Justeru setiap individu Muslim baik lelaki atau perempuan bertanggungjawab untuk memelihara dengan semaksimum mungkin.

Persoalannya di sini, benarkah kita selaku umat Islam yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad lalu menuruti jejak langkah yang ditunjukkan oleh baginda kepada kita, yang paling penting kita menunjukkan segala pusaka ilmu yang diwariskan kepada kita dapat dibuktikan dengan sebaik-baiknya.

Itulah yang dikehendaki oleh Islam daripada kita, namun terdapat individu yang menconteng arang ke arah Islam dengan melakukan tindakan, perbuatan, perkataan yang berbaur penghinaan terhadap Islam, sekali gus merosakkan nama baik Islam pada mata bukan Islam.

Ia dapat dilihat bagaimana umat Islam hari tidak menjaga Islam hingga sanggup terlibat dalam memberi dan menerima rasuah, lebih buruk lagi istilah itu digantikan dengan politik wang. Ada yang terlibat dengan pembunuhan kejam hingga meletupkan jasad mangsa bagi menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga yang merompak, merogol lalu membakar mangsanya, meragut, menderhaka terhadap kedua-dua ibu bapa hingga sanggup membawa kes ibu kandung ke mahkamah dan banyak lagi.

Tidakkah mereka terfikr bahawa tindakan bodoh mereka itu sebenarnya telah mengaibkan Islam pada mata bukan Islam, apakah mereka (non-Muslim) terdorong untuk menerima dan memeluk Islam jika melihat tindak-tanduk umat Islam yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.

Apakah penglibatan remaja-remaja dalam program-program realiti hari ini mencerminkan mereka sebagai orang Islam? Kalau tidak keterlaluan untuk disebut di sini program Akademi Fantasia yang mendedahkan percampuran bebas peserta lelaki dan wanita dalam sebuah banglo yang mendapat tunjuk ajar daripada guru-guru yang bebas bersalam antara satu sama lain, berpeluk seolah-olah macam saudara kandung sendiri. Apakah penampilan mereka itu direstui baginda Rasulullah s.a.w. apatah lagi ia berlangsung pada bulan 'Maulidur Rasul' dan 'Bulan Dakwah' peringkat kebangsaan.

Dan banyak lagi perbuatan, tindakan, perkataan umat hari ini yang tidak selari dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kesemua itu berlaku akibat membelakangkan pendekatan baginda Rasulullah s.a.w. menerusi Sirahnya yang tidak lagi dianggap penting oleh umat hari ini. Sama-samalah kita fikirkan, kerana setiap diri akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat kelak.


- Harakah Ustaz Zainudin hashim -