Showing posts with label Tazkirah Jumaat. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah Jumaat. Show all posts

Tazkirah Jumaat: Ahli gerakan Islam perlu tahu uslub dakwah

Perbincangan ini adalah mengenai keperluan anggota-anggota jemaah mengetahui selok-belok kaedah yang berkesan bagi menyampaikan mesej dakwah, sama ada di kalangan saudara-saudara seagama, ataupun kepada mereka yang bukan Islam. Ia lebih dikenali dalam konteks dakwah sebagai 'uslub dakwah' atau gaya, pendekatan, cara, kaedah dan sebagainya.

Ini penting kerana dengan memelihara uslub ini akan lebih menceriakan arena dakwah, kerana ia lebih memfokuskan kepada golongan sasaran, serta menentukan sama ada dakwah yang dijalankan itu benar-benar menepati acuan, kaedah atau sebaliknya matlamat jangka panjang dan pendek, ia bergantung kepada sejauhmana penerapan itu dibuat.

Menurut golongan para pendakwah atau daie, kejayaan atau keberkesanan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah, ada kaitan dengan pengamalan seseorang pendakwah yang tersirat dalam ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini.

Antara lain ketaatan kepada pemimpin, menjaga kerahsiaan, memperkasa diri dengan amalan-amalan Islam seperti memberi perhatian kepada pengukuhan ilmu-ilmu alat, membudayakan pembacaan al-Quran, memastikan isteri dan anak perempuan menutup aurat, mewajibkan perkara sunat untuk diri sendiri, tidak melaga-lagakan pemimpin, menjaga solat berjemaah, memimpin pertubuhan, mampu kendali majlis keramaian atau usrah, menepati janji dan tidak merokok.

Pada masa yang sama juga, pendakwah khususnya di kalangan anggota gerakan Islam meletakkan perkara-perkara berikut sebagai asas kepada uslub dakwah:

1. Berhikmah:

iaitu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, ia disaring daripada firman Allah SWT menerusi ayat 125 urah an-Nahl yang bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Hikmah yang dimaksudkan dalam ayat di atas mengandungi pelbagai tujuan yang boleh diselaraskan kepada uslub dakwah, antaranya:

a) Menghormati kotak pemikiran golongan sasaran,

maknanya pendakwah perlu melihat tahap mentaliti mereka sebelum menyampaikan sesuatu idea, ditakuti jika tidak sampai apa yang diutarakan, berkemungkinan besar akan menjadi sia-sia, kerana baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa: "Bercakaplah kepada orang ramai menurut tahap cara berfikir mereka."

b) Menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami

Dengan mengelak bahasa bunga yang merumitkan golongan sasaran atau menggunakan bahasa secara berterus-terang hingga dapat digarap dengan mudah.

c) Memilih waktu yang sesuai untuk bercakap pada perkara berhubung Islam atau dakwah,

Ia disandarkan kepada satu peristiwa yang pernah terjadi pada Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi), di mana beliau sering bercakap tentang Islam pada setiap hari Khamis, salah seorang pendengar setianya bertanya, alangkah bagusnya jika engkau dapat bercakap tentang Islam setiap hari wahai Ibnu Mas'ud, beliau menjawab; aku tidak mahu berbuat demikian bimbang ia akan membosankan kamu semua, aku berbuat demikian sebagai meneladani apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ke atas kami. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

d) Mengehadkan masa ketika bercakap

Iaitu pendakwah tidak meleret-leret ketika menyampaikan pandangannya tentang sesuatu topik, kerana boleh jadi yang mendengarnya seorang yang sakit, orang tua atau yang mempunyai keperluan lain, lebih-lebih lagi ketika menyampaikan khutbah para jemaah tidak boleh balik awal sebelum solat dilaksanakan dan sebagainya, Rasulullah s.a.w. bila berkhutbah menggunakan pendekatan yang sederhana dan segera agar tidak menyebabkan jemaah lama menunggu.

2. Nasihat yang baik:

Iaitu satu nasihat atau peringatan yang boleh melunakkan hati-hati manusia yang keras dengan amalan ahli dunia yang lupakan akhirat khususnya pada hari ini, di mana ramai manusia yang lebih cenderung kepada aspek sukan dan hiburan keterlaluan hingga boleh meninggalkan tugas utama sebagai Muslim/Muslimah iaitu solat fardu lima waktu, begitu juga pendakwah adalah disaran untuk memperbanyak mengingatkan manusia tentang dosa, pahala, syurga, neraka, balasan baik dan buruk. Ia adalah bertujuan untuk mencairkan manusia.

Pendakwah atau daie perlu memelihara perkara berikut:

* Ringkas yang berkesan dan tidak menjemukan penyampaian.

* Menghimpunkan antara perkara baik dan buruk untuk difikirkan.

* Memperbaykan sebutan mengenai nikmat Allah ke atas manusia.

* Menyediakan jalan untuk menuju kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat.

3. Berbahas dengan cara yang baik:

Berbahas adalah salah satu wasilah atau pendekatan dalam menyampaikan sesuatu hujah, adakalanya ia bersifat mulia dan pada ketika yang lain pula bersifat buruk, ia bergantung kepada sejauh mana cara berbahas tanpa mengikut aliran emosi, berbahas dengan cara mulia ada disebut dalam ayat di atas, surah an-Nahl 125 maksudnya:

"Berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Ada pun berbahas yang cenderung kepada sifat tercela disebut Allah dalam surah al-Haj ayat 8 maksudnya:

"Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

4. Berbahas dengan cara yang mulia berdasarkan elemen terbaik yang digunakan oleh pendakwah,

Iaitu mengemukakan hujah mudah tetapi benar yang boleh membuka minda manusia seperti yang ditegaskan Allah mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. yang berdialog dengan kaumnya, di mana kisah itu dipaparkan menerusi ayat 258 surah al-Baqarah maksudnya:

"Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan?

ketika Nabi Ibrahim berkata:

"Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan,"

Ia menjawab:

"Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan".

Nabi Ibrahim berkata lagi:

"Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?"

maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."

Pendakwah boleh juga mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan al-Quran bagi menguatkan hujahnya ketika berbahas atau berdialog dengan golongan sasaran, apatah lagi mereka yang agak degil dan keras kepala.

Ayat 35-37 surah at-Tur boleh dijadikan modal berdakwah, firman Allah maksudnya:

"(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (35). Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?(37)"

Pendekatan dakwah melalui kisah teladan dalam al-Quran atau pada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya kisah-kisah benar yang dipaparkan dalam al-Quran sebenarnya mampu menarik minat golongan sasaran kepada Islam, kerana ia bukanlah kisah dongengan, tetapi kisah benar yang dikisahkan Allah Yang Maha Benar untuk menjadi bahan renungan, kesedaran dan membuka minda untuk berubah.

Sebagai contoh kisah yang dipaparkan melalui ayat 259 surah al-Baqarah yang bermaksud:

"Atau (tidakkah engkau rasa pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Dia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "(tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging" Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: "Sekarang aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Kesimpulan daripada ayat di atas, bahawa Allah SWT menganjurkan kepada manusia untuk melancong (bukan tujuan maksiat) bagi melihat kebesaran Allah SWT, penting untuk memikirkan pada bahan-bahan ciptaan Allah di muka bumi, menentukan aspek kematian dan kebangkitan yang pasti berlaku, penjelasan mengenai tempoh mati dan hidup tidak boleh dikiaskan dengan kehidupan di dunia, membuktikan kekuasaan Allah dalam melakukan apa sahaja walaupun tidak dapat diterima oleh akal fikiran manusia yang terbatas.

5. Menggunakan teknik soal jawab ketika berdakwah:

Penggunaan teknik soal jawab dalam berdakwah, dianggap sebagai satu cara terbaik, kerana ia disandarkan kepada cerita dalam al-Quran, di mana Allah SWT bertanya kepada manusia dalam banyak yang bersifat soalan yang perlu dijawab oleh manusia, antara ayat-ayat berkenaan ialah:

* Ayat 1-3 surah al-Ma'un:

"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1). Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)"

* Surah al-Fil:

"Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, (4) Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.(5)"

6. Membawa contoh-contoh perumpamaan atau bidalan ketika berdakwah:

Penguasaan tentang ayat-ayat al-Quran menjadi keutamaan kepada pendakwah, justeru mereka boleh menggunakan ayat-ayat bersifat perumpamaan seperti yang disebut oleh al-Quran menerusi ayat 261 surah al-Baqarah:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."


Kesimpulannya,

Apabila uslub dakwah yang disyorkan di atas dapat direnungi bersama oleh mereka yang bergelar pendakwah, khususnya yang menjadi anggota gerakan Islam, insya-Allah ia akan menjadi satu pendekatan yang mampu mencairkan manusia yang cemderung kepada kebenaran Islam.


Nukilan asal

Mengapa Muslim biarkan hati mati

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud:

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

* Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah


USTAZ ZAINUDDIN HASHIM

Tazkirah Jumaat: Mengambil iktibar watak Sayidina Abu Bakar, Omar

Bagi pengamal sirah para sahabat r.a., akan mendapati bahawa antara kedua-dua pimpinan tertinggi khilafah Islamiyah selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. iaitu antara Khalifah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayidina Omar bin al-Khattab, mempunyai perwatakan dan keperibadaan yang sama sekali berbeza antara satu sama lain.

Ini kerana ada yang ulama sirah seperti Prof Dr Yahya Ismail, pensyarah Hadis di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dalam buku sirahnya berpendapat, bahawa kelainan perwatakan yang ada antara kedua-duanya merupakan satu anugerah Allah yang paling besar ke atas umat Islam. Ini kerana Sayidina Abu Bakar sering dikaitkan dengan seorang yang bersikap lemah lembut dan mirip kepada sifat berkasih sayang, sementara Sayidina Omar pula ada yang mengaitkan dengan seorang yang tegas, berani dan agak sedikit keras.

Kedua-dua perwatakan tersebut sebenarnya amat diperlukan dalam sebuah 'jemaah Islam' seperti PAS yang bercita-cita memperjuangkan Islam dalam segenap aspek kehidupan, terutamanya memastikan undang-undang negara berdasarkan prinsip hukum Ilahi. Ini kerana kedua-dua cara dan penampilan kedua-dua pimpinan khalifah tersebut sesuai sepanjang zaman di mana wujudnya kambing-kambing hitam yang mahu menumbangkan pemerintahan secara tidak demokratik.

Apa yang kita boleh belajar daripada kedua-dua tokoh sahabat Rasulullah berkenaan, ialah salah seorang daripada keduanya memiliki sifat 'low profile' dan seorang lagi tegas, lebih-lebih lagi berlaku insiden atau tragedi yang menyanggah kesucian agama, ia dapat dilihat dalam satu peristiwa selepas berakhirnya perang Badar Kubra.

Dalam peperangan itu, umat Islam berjaya membunuh kira-kira 70 musyrikin dan menawan 70 yang lain, baginda Rasulullah s.a.w. tidak dapat memutuskan kedudukan 70 tawanan tersebut. Maka kedua-dua Abu Bakar dan Omar dipanggil untuk mendapatkan pendapat mereka. Sayidina Abu Bakar mencadangkan agar setiap daripada tawanan berkenaan mengajar 10 anak orang Islam mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan ilmu peperangan, cara-cara membuat senjata dan sebagainya, jika projek itu berjaya bermakna 700 anak-anak orang mahir dalam bidang peperangan.

Rasulullah bersetuju dengan pendapat Abu Bakar itu, walau bagaimanapun baginda tetap mahu mendengar pendapat daripada Sayidina Omar pula. Omar juga menyatakan bahawa pendapat Abu Bakar itu ada kebenarannya, tetapi baginya disebabkan puak-puak musyrikin itu adalah punca kepada berlakunya penyelewengan terhadap umat manusia, maka beliau mecadangkan agar kesemua mereka yang ditawan itu dipancung sahaja kepala mereka.

Rasulullah s.a.w. tidak dapat nak memutuskan antara kedua-dua pendapat itu, namun baginda menegaskan bahawa mahu berjumpa mereka berdua pada keesokan hari di tempat yang sama. Pada malam itu Allah SWT memutuskan keputusannya mengenai kedudukan tawanan perang melalui ayat 67 surah al-Anfal sebagai teguran kepada Nabi:

"Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Boleh dibuat kesimpulan mengenai ayat di atas, bahawa Allah SWT mahu agar Nabi-Nya membunuh (dengan memenggal kepala) para tawanannya, ada mufassir menyebut seolah-olah pendapat Omar menepati ayat yang telah Allah tentukan sejak di 'Luh Mahfuz' lagi kedudukan mereka yang menentang Rasulullah. Ia bukanlah satu pendapat yang memperlihatkan kegarangan Omar, akan tetapi merekalah punca ramai manusia menentang Allah SWT.

Setelah kewafatan baginda Rasulullah, tampuk pemerintahan diserahkan kepada Sayidina Abu Bakar dengan cara syura dijalankan. Abu Bakar berpegang prinsip yang menepati cara dan kaedah perwatakannya. Justeru beliau memilih orang yang tegas dalam memimpin ketumbukan perang agar ketahan Islam dapat dipelihara. Khalid Bin al-Walid menjadi pilihannya, kerana Khalid adala individu yang suka berperang dan mempunyai banyak pengalaman dalam peperangan.

Ringkasnya, apabila Sayidina Abu Bakar meninggal dunia, jawatan itu tidak dikekalkan Omar kepada Khalid, kerana Omar tahu bahawa beliau dan Khalid mempunyai watak yang sama, nanti mereka berdua akan bertindak mengarahkan agar umat Islam sentiasa berperang. Khalid menerima pelucutan jawatannya sebagai panglima perang, kerana beliau juga tahu keadaan tersebut, maka Sayidina Omar melantik Sa'ad Bin Abi Waqqas yang memiliki ciri-ciri yang ada pada Abu Bakar.

Maknanya, kedua-dua Sayidina Abu Bakar dan Omar memahami tuntutan berjemaah, di mana perlu ada seorang yang berwatak agak tidak keras dan seorang lagi berwatak agak tegas pada satu-satu masa. Inilah yang mereka belajar daripada Sirah baginda Rasulullah s.a.w. yang mahukan kedua-dua watak itu wujud dalam 'jemaah Islam'.

USTAZ ZAINUDDIN HASHIM

Tazkirah Jumaat : Penting memelihara nama baik Islam

Ustaz Zainudin HashimKerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipilih khusus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul terakhir, adalah untuk membawa agama yang benar daripada Allah serta memelihara nama baiknya daripada tercemar. Justeru baginda melakukan yang terbaik bagi memastikan kesinambungan nama baik Islam terus berada pada tahap dan keadaan yang sempurna.Dalam Sirah baginda, jelas menunjukkan bahawa baginda sedaya upaya menjernihkan Islam daripada angkara keceluparan mulut, tindakan atau perbuatan yang boleh merudumkan nama baik Islam seperti tidak berakhlak mulia di hadapan bukan Islam, sedangkan ketika bersama sesama Islam baginda berbuat baik dengan mereka. Baginda tidak memakai pakaian yang boleh menjatuhkan imejnya bukan sahaja sebagai seorang Nabi, tetapi sebagai seorang Muslim yang mempratikkan Islam.

Contoh mengenainya terlalu banyak berdasarkan Sirah baginda mendaulatkan Islam selama 23 tahun yang tercatat dalam sejarah tamadun Islam. Ia dapat dilihat bagaimana baginda menunjukkan sikap positif terhadap semua bangsa manusia, tidak kira sama ada mereka golongan sahabatnya, bukan Islam atau musuh-musuh Islam yang terkenal pada masa itu dengan golongan 'munafiqin' atau 'Zindiq' yang berpura-pura menerima Islam di hadapan Rasulullah s.a.w.

Jabir bin Abdullah antara sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis pernah berkata:

"Ketika baginda membahagikan harta rampasan perang (ghanimah) bani Hawazin di kalangan orang ramai di Jaaranah, maka seorang lelaki daripada bani Tamim bangun lalu berkata: 'Wahai Rasulullah! Bahagikan ghanimah itu dengan adil', maka baginda s.a.w. pun memarahinya sambil menegaskan; jika Muhammad tidak berlaku adil, maka siapa yang lebih adil daripada aku? Jika aku tidak berlaku adil sudah tentu ramai orang termasuk engkau juga tidak mendapat keadilan sewajarnya, mereka semua akan rugi."

Saiydina Umar bin al-Khattab pun bangun lalu berkata:

"Wahai Rasulullah! Biarkan aku saja yang membunuh lelaki ini? Nabi bersabda: 'Aku berlindung daripada Allah supaya tidak akan ada umat yang akan berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya', Rasulullah pun menambah: "Sesungguhnya lelaki berkenaan dan sahabatku juga adalah mereka yang membaca al-Quran, cuma mungkin tidak memahaminya dengan baik." - Hadis sohih riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari

Dalam satu peristiwa lain, satu daripada para sahabat ada menyaksikan beberapa individu di Madinah melakukan perbuatan sumbang, iaitu memburuk-burukkan nama baik negara yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang dikenali dengan pentadbiran berasaskan 'Piagam yang adil' atau Piagam Madinah. Maka baginda memanggil para pembesar sahabat yang menjawat jawatan menteri dan penasihat negara, supaya bertindak ke atas mereka dengan pelaksanaan undang-undang (ta'zir) yang setimpal dengan perbuatan mereka, akan tetapi baginda berpesan supaya mengelak daripada cemuhan manusia yang mungkin akan berkata bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.

Begitu juga dalam mengukuhkan hubungan dengan para pembesar negara-negara dunia ketika itu, terdapat daripada mereka yang bukan Islam, baginda amat menitik-beratkan pendekatan 'Robbaniyyah/ketuhanan' ketika berurusan dengan mereka.

Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 58 surah al-Anfal yang bermaksud:

"Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat."

Demikian juga dengan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w., di mana setiap individu daripada mereka amat mementingkan penjagaan nama baik agama Islam, sehingga tidak terdapat seorang pun daripada mereka melakukan tindakan, perbuatan atau keceluparan mulut mereka yang boleh merosakkan nama baik, sama ada dari sudut penmapilan diri, hubungan sesama manusia, mentadbir negara, dalam peperangan, semuanya dilakukan berdasarkan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. agar Islam sentiasa dipandang mulia.

Adakah umat hari ini menjaga nama baik Islam?

Islam bukanlah hak untuk orang-orang terdahulu daripada kita semata-mata, atau untuk sesuatu bangsa tertentu, tetapi ia adalah hak mutlak kepada semua mereka yang beragama Islam tanpa mengira asal-usul keturunan, kedudukan, pangkat, jantina atau warganegara. Justeru setiap individu Muslim baik lelaki atau perempuan bertanggungjawab untuk memelihara dengan semaksimum mungkin.

Persoalannya di sini, benarkah kita selaku umat Islam yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad lalu menuruti jejak langkah yang ditunjukkan oleh baginda kepada kita, yang paling penting kita menunjukkan segala pusaka ilmu yang diwariskan kepada kita dapat dibuktikan dengan sebaik-baiknya.

Itulah yang dikehendaki oleh Islam daripada kita, namun terdapat individu yang menconteng arang ke arah Islam dengan melakukan tindakan, perbuatan, perkataan yang berbaur penghinaan terhadap Islam, sekali gus merosakkan nama baik Islam pada mata bukan Islam.

Ia dapat dilihat bagaimana umat Islam hari tidak menjaga Islam hingga sanggup terlibat dalam memberi dan menerima rasuah, lebih buruk lagi istilah itu digantikan dengan politik wang. Ada yang terlibat dengan pembunuhan kejam hingga meletupkan jasad mangsa bagi menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga yang merompak, merogol lalu membakar mangsanya, meragut, menderhaka terhadap kedua-dua ibu bapa hingga sanggup membawa kes ibu kandung ke mahkamah dan banyak lagi.

Tidakkah mereka terfikr bahawa tindakan bodoh mereka itu sebenarnya telah mengaibkan Islam pada mata bukan Islam, apakah mereka (non-Muslim) terdorong untuk menerima dan memeluk Islam jika melihat tindak-tanduk umat Islam yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.

Apakah penglibatan remaja-remaja dalam program-program realiti hari ini mencerminkan mereka sebagai orang Islam? Kalau tidak keterlaluan untuk disebut di sini program Akademi Fantasia yang mendedahkan percampuran bebas peserta lelaki dan wanita dalam sebuah banglo yang mendapat tunjuk ajar daripada guru-guru yang bebas bersalam antara satu sama lain, berpeluk seolah-olah macam saudara kandung sendiri. Apakah penampilan mereka itu direstui baginda Rasulullah s.a.w. apatah lagi ia berlangsung pada bulan 'Maulidur Rasul' dan 'Bulan Dakwah' peringkat kebangsaan.

Dan banyak lagi perbuatan, tindakan, perkataan umat hari ini yang tidak selari dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kesemua itu berlaku akibat membelakangkan pendekatan baginda Rasulullah s.a.w. menerusi Sirahnya yang tidak lagi dianggap penting oleh umat hari ini. Sama-samalah kita fikirkan, kerana setiap diri akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat kelak.


- Harakah Ustaz Zainudin hashim -